Malah, ada dalam kalangan menjadikan muzik sebagai peneman tatkala suka, duka mahupun ketika kita seakan hilang arah dalam mendepani cabaran hidup tidak kira siapa pun kita sebagai seorang manusia.

Tidak sekali menafikan perkara itu, malah penyanyi yang begitu meningkat naik dengan lagu Maha Karya Cinta, Faizal Tahir mengakui, muzik bukan sekadar untuk hidangan halwa telinga sebaliknya menjadi santapan hati mereka yang tahu menghargai keindahan irama sesebuah lagu.

Sedar atau tidak, sudah lebih sedekad bapa kepada enam orang anak ini mendambakan diri dalam kanvas seni tempatan malah, pelbagai kejayaan silih berganti dipahat dan tidak keterlaluan untuk mengangkat dirinya sebagai antara yang terbaik dekad ini.

Pernah digam stesen televisyen gara-gara tindakannya membuka baju ketika membuat persembahan, penyanyi berusia 38 tahun ini nyata tidak pernah mengalah dalam memperjuangkan muziknya biarpun cabaran yang perlu ditongkah bukan calang-calang hebatnya.

“Muzik itu bukan hanya untuk didengar tetapi untuk dirasai kerana ia mempunyai kuasa tersendiri dalam menyatukan setiap daripada kita, membakar semangat dan menyalurkan keyakinan dari dalam diri setiap kita.

“Perjuangan dalam industri muzik itu tidak hanya berlandaskan minat semata-mata, kerana kita turut mempunyai tanggungjawab dalam mendidik dan menerapkan nilai-nilai terbaik kepada pendengar,” jelasnya.

Namun, tiba-tiba sahaja, dunia hiburan dicuit dengan keputusan penyanyi ini menarik diri daripada menyertai Anugerah Juara Lagu yang turut memberi tamparan hebat kepada peminat-peminatnya. Bagaimanapun, semua perlu akur yang penyanyi ini ada agenda sendiri untuk melebarkan kuasa muziknya.

Disogok soalan adakah kekecewaan merupakan faktor utama tindakan tersebut, finalis program realiti, One In A Million ini langsung tidak melatah sebaliknya dengan tenang membalas, dia sudah merasai apa itu populariti.

Masakan tidak, enam tahun mencuba dengan 10 lagu dipertaruhkan, sekalipun penyanyi yang popular dengan lagu Sampai Syurga itu tidak menjuarai anugerah berprestij yang berlangsung setiap tahun itu.

Malah, menampilkan aksi di luar jangkaan setiap kali membuat persembahan, anak kelahiran Kuala Lumpur ini akur dengan rezeki yang sememangnya telah tertulis untuknya dan sekalipun dia tidak pernah mengeluh.

“Saya tidak mahu lagi bertanding di AJL bukan kerana kecewa atau merajuk, sebaliknya perasaan ingin memberi apa yang terbaik kepada peminat itu lebih besar daripada keterujaan memenangi apa-apa anugerah.

“Saya tiada apa-apa lagi untuk dibuktikan, 10 tahun di dalam industri dengan pelbagai aksi serta persembahan, perjalanan muzik yang dilalui bukan sesuatu yang sia-sia,” katanya.

Projek #1Moment4Them jadi aspirasi

Mencipta fenomena dengan lagu berunsur kemanusiaan, Assalamualaikum, bekas penyanyi nasyid kumpulan Mirwana ini menolak dakwaan karya-karya muziknya selepas ini hanya akan menyalurkan mesej yang sama.

Cuma baginya, kehidupan kini lebih terarah kepada menyalurkan bantuan kepada mereka yang memerlukan dan kerana itu dia menubuhkan Faithmen yang merupakan pergerakan kemanusiaan.

“Saya masih lagi Faizal Tahir yang dahulu, tiada apa yang akan berubah. Cuma mungkin diri saya sendiri yang akan lebih memberi fokus kepada aktiviti bantuan kemanusiaan,” jelasnya.

Bakal menyertai misi kemanusiaan bagi membantu pelarian Syria, Faizal beranggapan inilah masa untuk dirinya menggunakan peluang yang ada bagi membuktikan muzik bukan sahaja untuk menghiburkan sebaliknya menjadi penguat semangat mereka yang tiada berdaya.

Beraksi bersama empat penyanyi popular tanah air antaranya, Aizat Amdan, Noh Salleh dan Mu’adz Dzulkefly, pemenang Artis Baharu Terbaik, Anugerah Industri Muzik 2008 ini berharap agar perjalanan di negara bergolak, Jordon akan diberkati dan dipermudah oleh-Nya.

“Kami bakal membuat konsert #1Moment4Them 2.0 di Pusat Konvensyen Al-Azhar, Mesir pada 29 April depan dan disusuli dengan persembahan di Khindi Hall, Jordon keesokan harinya.

“Konsert dan persembahan itu adalah bagi mengumpul dana membantu pelarian Syria yang sedang menderita akibat pergolakan yang berlaku di negara mereka,” katanya.

Mempersembahkan tiga buah lagu, pengalaman penyanyi ini ketika berkunjung ke kem pelarian itu sebelum ini membuatkan hatinya tekad untuk terus berkhidmat bagi merealisasikan erti kemanusiaan itu sendiri.

Malah, ketika jualan lelong diadakan dengan bantuan pelajar-pelajar Malaysia di Jordon, kasut yang baru dibeli oleh penyanyi ini telah berjaya dijual dengan harga RM3,000.

“Saya terkejut sebenarnya kerana kasut itu dibeli sebelum saya ke Jordon dengan harga RM250 namun tidak sangka, mereka sanggup berhabis ribuan ringgit semata-mata untuk membeli kasut itu,

“Tapi, saya sedar jumlah besar itu bukan kerana mereka meminati saya, namun semuanya atas dasar kemanusiaan. Cuma, kasut itu seperti ‘bonus’ lah,” selorohnya.